Thursday, November 29, 2007

Jalan Berfikir

Meniti hidup seharian,bermula terbit sang mentari hinggalah hilang cahayanya dari pandangan mata,terfikir adakah masa kurniaan Allah ini digunakan sebaiknya atau tidak,ke jalan yang menjanjikan redha Allah atau murkaNya.Selain memikirkan apa yang patut dilakukan untuk hari ini,minda ini juga diakses dengan pelbagai persoalan dan andaian pabila mengenangkan kehidupan akan datang.Keluarga,rumahtangga,kerjaya dan perjuangan.Semuanya memerlukan komitmen yang bukan sedikit.

Berbanding dengan kehidupan kini,duduk di negara orang,hanya menemani suami tercinta merealisasikan misi sucinya..banyak masa dihabiskan di rumah dan tak banyak yang membebankan fikiran.Celik mata,kena pastikan semua kerja rumah,makan minum suami dan anak-anak beres serta yang sewaktu dengannya.Pun begitu, sering terfikir apakah hidup ini semakin hari lebih mendekatkan diri dengan Allah khususnya dan memberi erti untuk Islam amnya atau sebaliknya.Apapun, tak kisahlah mungkin ini sudah takdir Ilahi dan berdoa agar apa saja yang dilakukan dinilai sebagai ibadah oleh Allah swt.

Walau apa jua lapangan hidup kita dan di mana kita berada,ada tiga perkara penting yang mesti difikirkan agar hidup kita tidak sia-sia.Semuanya ada hubungkait kita dengan Allah.Dari mana datangnya kita? Apakah tujuan kita diciptakan? Kemana kita akan kembali? Ini semua untuk memastikan agar hidup kita ada manfaat kepada diri juga orang lain.Inilah juga yang dinamakan fadhilat atau kelebihan dalam berfikir.

Setelah diperincikan lagi,ada empat perkara penting yang menjadi saluran berfikir yang diajar oleh Islam semasa hayat kita didunia ini.Antara perkara tersebut:

1.الطاعة (perkara taat)
2.والمعاصى (perkara maksiat)
والصفات المهلكات3 (sifat-sifat yang memusnahkan diri)
والصفات المنجيات4 (sifat-sifat yang menyelamatkan diri)

Walau banyak mana dan apa perkara sekalipun yang kita fikir dan lakukan,bila dicantum-cantum hakikatnya tak lari daripada empat perkara di atas.Samaada kita sebagai pemimpin,ibu bapa,guru,pelajar,peniaga dan sebagainya,mesti fikir perkara ini.Kalau hidup kita tak taat jawabnya maksiat.Nauzubillah..

Dalam masalah taat dan maksiat,bagaimana cara untuk kita menentukan adakah hidup kita pada hari tersebut dalam taat atau maksiat pada Allah? Ya,Islam telah mengajar umatnya agar melakukan semakan atau muhasabah terhadap anggota tujuh.Sebab itulah,Nabi s.a.w menggalakkan umatnya agar bertafakur sejenak selepas solat subuh.

Tangan,kaki,mata,telinga,hidung,mulut,perut pastikan semuanya ke arah taat kepada Allah.Kerana anggota tujuh inilah yang akan menentukan tempat kita di syurga atau neraka!Seterusnya mengenalpasti apakah sifat-sifat yang boleh memusnahkan diri dan yang mampu menyelamat serta melepaskan diri kita dari azab Allah swt.

Demikianlah kepentingan berfikir dalam Islam.Antara berfikir dan 'nengung' istilah orang pantai timur (berkhayal) ada bezanya.Berfikir ialah kita gerakkan akal dengan adanya kaedah dan matlamat.Adanya mati selepas hidup dan hidup semula sesudah mati merupakan kaedah yang telah dijelaskan dalam al-Quran.Manakala berkhayal lebih kepada membuang masa dan sia-sia.Fikir,renung dan muhasabahlah agar hidup kita selamat di dunia mahupun akhirat..

No comments: