Tuesday, December 25, 2007
Salam imtihan...
Dalam keseronokan meraikan hari raya, sebenarnya imtihan fasal pertama semakin hampir.Insya Allah akan bermula pada 5 jan 2008.Walaupun dah tak duduki imtihan namun perasaan sepertimana saat-saat dekatnya waktu imtihan dan nak masuk dewan peperiksaan masih segar diingatan.Bila tahu jer tarikh exam dah keluar, rasa berkira sangat nak lakukan aktiviti lain selain study dan yang sewaktu dengannya.Setiap masa nak kena pegang buku.Aktivti lain semuanya ditangguhkan selepas imtihan.Padahal tak study manapun, takut jer yang lebih..ehehe.Bukan apa, takut menyesal tak sudah dek kelalaian sendiri.Look before you leap! That is it coz I don't like last minute sebenarnya.
Hmm, sebut pasal imtihan ni, ustaz-ustaz kat sekolah dulu pernah mengingatkan yang peperiksaan hanyalah wasilah untuk menguji sejauhmana kefahaman dan keprihatinan kita terhadap ilmu yang kita belajar.Bukan matlamat kita dalam menuntut ilmu.Periksa untuk belajar bukan belajar untuk periksa! Andai belajar untuk periksa maka rugilah kita.Expire date ilmu hanya di kertas jawapan.Bukan untuk membentuk syakhsiyyah diri jauh sekali untuk dikualitikan bersama.
Teringat sewaktu mula-mula nak didaftarkan ke sebuah sekolah swasta (Maahad Darul Quran), pernah mempersoalkan mak ayah kenapa dihantar ke sekolah yang sudah diketahui tidak mementingkan masa depan (sijil).Padahal sebelum itu dah dapat tawaran masuk ke sebuah sek.men.arab kerajaan.Lagipun hairan juga dengan kerja ayah yang gajinya tak seberapa, ayah beriya-iya menyatakan kesanggupannya.Kata ayah, tak ape, kita belajar bukan nak kejar segulung sijil.Apa yang penting, ilmu yang kita dapat tu mampu menjadikan kita seorang yang berakhlak dan dapat bimbing keluarga.Bukan tak percayakan sekolah lain tapi lebih cenderung untuk memastikan setiap anaknya berada di bawah naungan seorang ulama' (TG Hj Abdul Hadi Awang).Katanya rezeki kita di tangan Allah bukannya kuasa manusia.Allah takkan mempersia-siakan hambaNya yang menuntut ilmu keranaNya.Begitu sekali keyakinan mereka.
Terharu pulak bila mengenangkan tingginya cita-cita diorang.Rasa tak mampu nak tunaikan harapan mak ayah tu.Apapun cuba setakat termampu..Sebagai buktinya, mereka tak kisah walaupun anaknya ini masih tidak bekerja.Cuma kita yang tak sampai hati tidak menghulurkan walau sedikit sebagai tanda membalas jasa mereka.Nak buat camner dah ditakdirkan masih berada di sini.Bila telefon mak, mohon maaf atas segalanya, kata mak tak ape yang penting jangan lupa doakan mereka.Itulah, hanya sekudus doa yang diharapkan dari anaknya.Alhamdulillah syukur pada Allah dikurniakan mak ayah yang tidak mementingkan kesenangan dunia semata.Harapnya kita semua camtu gak.Jazakumallahu khairal jaza' buat ma n abah..i love u so much!
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Barangsiapa yang bertambah ilmunya,tetapi tidak bertambah petunjuk Allah,maka tidak bertambah kepadanya melainkan makin jauh dengan Allah" .Nauzubillahi min zalik.Cuba imbas kembali matlamat utama kita menuntut ilmu.
Ada 3 objektif utama kita menuntut ilmu :-
1. Keluar dari kejahilan.
2. Mengamalkan apa yang dipelajari.
3. Menyampaikan ilmu tersebut.
Keberkatan ilmu akan wujud pabila disertai amalan.Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud:"Sebaik-baik amalan itu adalah yang sedikit tapi berterusan".
Tiada erti kita cemerlang dalam peperiksaan tapi gagal dalam amalan dan memperbaiki diri.Barangkali lebih baik kita gagal dalam imtihan tapi cemerlang dari segi amalan dan akhlak.Apatah lagi dapat kedua-duanya sekali.Imtiaz dalam imtihan jua imtiaz dalam akhlak.Sebab najah adalah wasilah dakwah.Kadangkala kegagalan merupakan fitnah bagi kita yang menjadi duta masyarakat.Namun adakalanya menjadi ujian buat kita yang mengandungi 1001 hikmah untuk dimuhasabah bersama.Berusahalah sehabis daya demi Islam dan Ummah kerna berjaya atau gagalnya kita USAHA dan TAWAKKAL tetap jadi tebusan!
By the way, habluminallah dan habluminannas juga perlu diambil cakna.Semua ini sedikit sebanyak akan memberi kesan dalam memastikan rahmat Allah sentiasa bersama kita.Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Barangsiapa yang menjaga hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memelihara hubungannya sesama manusia.."
Well, selamat berjuang menempuh imtihan buat semua.Moga diberi quwwah dan nusrah oleh Allah swt dalam setiap langkahan kalian.Bittaufiq wan najah..aaamin.
"Jangan takut jatuh kerana yang tak pernah memanjatlah yang tak pernah jatuh.Jangan takut gagal kerana yang tak pernah gagal hanyalah orang yang tak pernah cuba melangkah.Jangan takut salah kerana dengan kesalahan yang pertama kita dapat menambah pengetahuan untuk mencari jalan yang benar pada langkah yang kedua". -HAMKA-
Tuesday, December 18, 2007
Salam Eidul Adha 1428
Mudah2an ibadat korban jua akikah yang dilaksanakan mampu memupuk semangat sanggup berkorban apa sahaja untuk meninggikan agama serta menghilangkan rasa terlalu sayangkan pada harta kesenangan dunia.
Jua semoga Hari Raya Korban yang sama-sama kita raikan dapat mengukuhkan lagi semangat bantu membantu guna menyatukan hati dikalangan umat Islam.Anggaplah semua ini adalah perintah Allah dan didikan agama dalam hal berkorban kerana tanpanya agak sukar bagi kita untuk melakukan pengorbanan yang lebih besar terutama dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini.
اللهُ أَكْبَر * اللهُ أَكْبَر * اللهُ أَكْبَر * لا إِلَهَ إلاَّ الله وَاللهُ أَكْبَر *
اللهُ أَكْبَر وَللهِ الحَمْد .
SELAMAT MENYAMBUT EIDUL ADHA 1428 DARI KAMI SEKELUARGA...
MAAF ZAHIR BATIN
"Kullu 'am wa antum bikhairin wa ilallahi aqrab"
Sunday, December 16, 2007
Renungan Zulhijjah
Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu selepas ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikan ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini. Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang muslim sebagai amanah suci. kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.
Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba adalah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Wahai manusia, dengarlah kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah 'Ibadah haji' sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap muslimin adalah saudara kepada muslimin yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari nanti untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu..
Friday, December 14, 2007
Kelebihan jari
Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari kita yang lima.Terpulang kepada kita untuk menyingkap apakah yang tersirat di sebalik ciptaan Allah swt ini.Yang penting ada manfaat yang boleh dikongsi bersama.Cuba perhatikan perlahan-lahan jari kita. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan.
Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan. Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah "melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi impak yang besar pada masa hadapan.
Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira.. pada ketika ini, alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini kita sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan taqwa menunjuk jalan kebenaran. Pada usia ini, kita sudah baligh dan mukallaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Rabbul Jalil. Sedarkah kita??
Nah... naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Di peringkat umur 30-an ini seseorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, kita mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak "hantu-hantu pengacau" yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru, amal ibadat mesti dilipatgandakan.
Kita beralih kepada jari telunjuk. Jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini, hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.
Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa "cap jempol" atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka kita patuhi, nescaya kita boleh berkata "good" atau "yes" sambil menggengam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan kita.
Akhirul kalam, cuba lihat sekali lagi jemari kita yang lima itu. Renung dan fikir dalam-dalam. Dimanakah kita sekarang?
Tuesday, December 11, 2007
Haid!!! Hukum duduk dalam masjid, satu penjelasan...
الشيخ محمد أرشد بن عبد الله البخارى di dalam kitabnya سبيل المهتدين للتفقه فى أمر الدين
Mengatakan:
“Bermula haram sebab haid dan nifas barang yang haram sebab janabah daripada sembahyang, tawaf dan sujud tilawah dan sujud syukur dan khutbah Jumaat dan menyentuh mashaf dan berhenti di dalam masjid dan membaca al-Quran dan dengan qasad al-Quran.
Mengenai orang yang berjunub:
Syahadan bahawa haram atas orang yang berjunub yang Islam lagi baligh berhenti dalam masjid atau berjalan berulang di dalamnya, jikalau pada serambinya sekalipun, melainkan kerana dharurat seperti ada ia dalam masjid maka ihtilam (bermimpi) pada malam itu, jika takut ia akan kebinasaan harta atau dirinya, maka harus dia berhenti di dalamnya. (hal. 79)
الشيخ العلامة زين الدين بن عبد العزيز الملبارى di dalam kitabnya فتح المعين
Meriwayatkan diharamkan ke atas perempuan haid apa yang diharamkan ke atas orang yang berjunub.
الشيخ محمد الشربينى الخطيب di dalam kitab الإقناع فى حل الألفاظ أبى شجاع
Mengatakan diharamkan ke atas perempuan haid memasuki masjid, duduk atau berulang alik di dalamnya berdasarkan firman Allah s.w.t:
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَقْرَبُوا الصَّلاَةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا..} (النساء:آية 43) Maksudnya:
“Wahai orang yang beriman janganlah kamu menghampiri sembahyang (mengerjakannya), sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (menghampiri masjid), sedang kamu dalam keadaan junub, berhadas besar kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci”.
"لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُبٍ". (رواه أبو داود عن عائشة رضى الله عنها) Maksudnya:
“Tidak aku halalkan (duduk) di dalam masjid bagi perempuan haid dan orang yang berjunub”.
محمد اسماعيل داود فطانى di dalam kitab مطلع البدرين ومجمع البحرين
Menyatakan: “ Bermula haram dengan sebab haid dan nifas itu dengan barang yang diharamkan atas orang yang junub sekaliannya (dan) ditambahkan pula haram lalu di dalam masjid jika takut titik darahnya. (Maka jika) tiada takut maka makruh jua. (hal. 27)
الإمام زكريا يحى محى الدين بن شرف النووى di dalam kitab المجموع شرح المهذب للشيرازى، الجزء الثانى
Menyatakan, pengarang kitab ini berkata haram duduk perempuan haid di dalam masjid berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:
"لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِجُنُبٍ وَلَا حَائِضٍ". Maksudnya:
“Tidak aku halalkan masjid (duduk di dalam masjid) bagi orang yang berjunub dan perempuan haid”.
الدكتور عبد الكريم زيدان di dalam kitab المفصل فى أحكام المرأة والبيت المسلم فى الشريعة الإسلامية، الجزء الأول
Fasal 298 – Hukum perempuan haid masuk ke dalam masjid dan berhenti duduk di dalamnya.
" نَاوِلِينِي الْخُمْرَةَ مِنْ الْمَسْجِدِ فَقُلْتُ إِنِّي حَائِضٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِي يَدِكِ ".
(أخرجه أبو داود) (حسن صحيح)Maksudnya:
“Unjukkan aku tikar sembahyang (sejadah) daripada masjid. Kataku bahawasanya aku dalam keadaan haid. Sabda Rasulullah s.a.w: bahawa haidmu tiada pada tanganmu”.
"لَا أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلَا جُنُبٍ". Maksudnya:
“Tidak aku halalkan duduk dalam masjid bagi perempuan haid dan orang yang berjunub”.
"وأن المسجد لا يحل لحائض ولا جنب". Maksudnya:
“Sesunggunya masjid itu tidak halal (duduk di dalam masjid) bagi perempuan haid dan orang yang berjunub”.
الإمام أبو الفداء اسماعيل ابن كثير القرشى الدمشقى di dalam kitab تفسير ابن كثير di dalam mentafsirkan ayat:
{وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا..} قال: لا تدخلوا المسجد وأنتم جنب إلا عابرى سبيل قال تمر به مرا ولا تجلس.
Maksudnya:
“Janganlah pula (menghampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub berhadas besar, kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci”. Dia berkata jangan kamu masuk ke dalam masjid , sedangkan kamu dalam keadaan berjunub, kecuali untuk lalu sahaja, bukan duduk di dalamnya.
Prof. Dr. Hamka, Tafsir al-Azhar, Juzuk 5.
بحر المازى شرح باكى مختصر صحيح الترمذى:
1) باب الحائض تتناول من المسجد.
Dari al-Qasim bin Muhammad, katanya: berkata Aisyah r.a:
قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ "نَاوِلِينِي الْخُمْرَةَ مِنْ الْمَسْجِدِ فَقُلْتُ إِنِّي حَائِضٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ حَيْضَتَكِ لَيْسَتْ فِي يَدِكِ." (حسن صحيح) Maksudnya:
Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepadaku “Unjukkan aku tikar sembahyang (sejadah) daripada masjid. Kataku bahawasanya aku dalam keadaan haid. Sabda Rasulullah s.a.w: bahawa haidmu tiada pada tanganmu”.
عن أم عطية أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان يخرج الابكار والعواتق وذوات الخدور والحيض فى العيدين. فأما الحيض فيعتزلن المصلى ويشهدن دعوة المسلمين. قالت إحداهن: يا رسول الله إن لم يكن لها جلباب قال فلتعرها أختها من جلابيها. (حسن صحيح) Maksudnya:
Daripada Ummu ‘Athiah bahawa Rasulullah s..a.w adalah ia mengeluarkan gadis-gadis dan perempuan muda dan semua yang ditabirkan dan perempuan-perempuan haid pada dua hari Raya, maka adapun perempuan-perempuan haid, maka jauh mereka akan tempat sembahyang dan hadir sekalian akan seruan mukmin. Kata seorang daripada mereka, “wahai Rasulullah s.a.w. jika tidak ada bagi mereka kain tudung (jilbab)”. Sabdanya: “Berilah pinjam akan dia oleh saudaranya daripada kami tudungnya (jilbabnya)”.
(Lihat, الدكتور عبد الكريم زيدان، المفصل فى أحكام المرأة والبيت المسلم فى الشريعة الإسلامية، الجزء الأول
Halaman 168-169)
Pendapat yang mengatakan haram lebih ramai dan lebih kuat hujjah mereka berbanding dengan pendapat yang mengatakan harus.
Pendapat yang mengatakan haram beralasan kerana perempuan haid adalah berhadas besar seperti juga orang yang berjunub. Sedangkan orang yang berjunub jelas dilarang duduk atau berhenti di dalam masjid. Al-Quran dan al-Hadis jelas melarangnya.
Perempuan haid hanya boleh melintasi, menyeberang dan melalui dalam masjid dengan syarat ia yakin dan pasti darah haidnya tidak menitis dengan memakai cawat atau pakaian yang kalis daripada menitis atau melimpah darah haid.
Perempuan haid hanya boleh duduk atau berhenti di dalam masjid dalam keadaan dharurah dan terpaksa. Seperti menjaga keselamatan dirinya dan harta bendanya daripada bahaya. Apakah duduk di dalam masjid menyertai program dan aktiviti itu dharurat dan terpaksa?
Kebersihan dan kesucian hendaklah dijaga, samada dari segi zahirnya mahupun batinnya.
Jika sekiranya seseorang perempuan sedang beriktikaf di dalam masjid, tiba-tiba dia datang haid, maka dia hendaklah keluar dan meninggalkan masjid. Jika dikiaskan dengan ibadat lain sama juga hukumnya.
Daripada pendapat yang diutarakan, sepertimana penulis asal,saya juga lebih cenderung dan bersetuju dengan pendapat ulama’ yang mengharamkan perempuan haid berhenti dan duduk di dalam masjid, memandangkan hujjah mereka jelas dan kuat berdasarkan al-Quran dan al-Hadis jika dibandingkan dengan pendapat yang mengharuskannya. Adapun menyertai program atau aktiviti tidak semestinya boleh dilakukan dengan duduk di dalam masjid dan tidaklah ianya sampai ke tahap dharurat atau terpaksa kerana boleh dilakukan cara lain sesuai dengan kemudahan-kemudahan lain seperti duduk di dalam dewan, markas, khemah dan dengan menggunakan skrin layar, tv litar dan lain-lain kemudahan IT berdasarkan kaedah fikah:
"درء المفاسد مقدم على جلب المصالح"
Maksudnya:
“Membendung kerosakan diutamakan daripada menarik kemaslahatan”.
Sekian, wallahu a’lamu bissowab.
Friday, December 7, 2007
Erti titisan air mata
Ketahuilah, pecinta dunia menangis kerana dunia yang hilang.Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang.Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang abid.Alangkah sedikitnya hartaku, keluh seorang hartawan.
Itulah perbezaan asbab antara tangisan dua insan yang bergelar hamba Allah.
Firman Allah swt yang bermaksud:"Penghuni syurga itulah orang-orang yang menang". (al-Hasyr:20)
Sabda Rasulullah s.a.w :"Ada dua titisan yang Allah cintai, pertama titisan darah para syuhada' dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan Allah".
Sabdanya lagi:"Tangisan seorang pendosa lebih Allah cintai daripada tasbih seorang wali"
Oleh itu, berhati-hatilah dalam tangisan kerana ada tangisan yang mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa bahagia untuk selama-lamanya..Seorang pendosa yang menangis kerana dosa adalah lebih baik daripada abid yang berangan-angan tentang syurga mana kelak yang dia akan bertakhta.
Nabi s.a.w bersabda:"kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih lebih Allah sukai daripada satu kebaikan yang menimbulkan rasa takabbur".
Sedarilah, ketawa yang berlebihan adalah tanda lalai dan kejahilan.Ketawa seorang ulama' dunia akan hilang ilmunya, hilang wibawanya.Manakala ketawa seorang jahil semakin keras hati dan perasaannya.
Nabi s.a.w bersabda:"Jika kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan banyak menangis dan sedikit ketawa".
Seorang hukama' pernah bersyair :" Aku hairan melihat orang ketawa kerana perkara -perkara yang akan menyusahkan lebih banyak dari perkara-perkara yang menyenangkan".
Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal, takut-takut tidak diterima ibadatnya.Kita ketawa walaupun sedar diri kosong dari amalan.Nabi s.a.w ada bersabda:"Sesiapa yang buat dosa dalam keadaan ketawa akan dicampakkan ke neraka dalam keadaan menangis!".Nauzubillah min zalik..Kekadang kita tak sedar berada dalam situasi begini.Mungkin dosa yang dilakukan itu dianggap terlalu kecil.Kerana itu, usah dipandang kecilnya dosa tapi lihatlah kepada siapa kita melakukan dosa.Seorang kafir memandang dosa itu ibarat lalat yang hinggap dihidungnya lalu dihalaunya namun seorang mu'min melihat dosa seolah-olah bukit yang akan menghempapnya.
Bukankah Nabi s.a.w pernah bersabda:"Neraka itu dikelilingi nikmat, syurga itu dikelilingi bala'.
Justeru, bila sedar diri diselaputi dosa maka segeralah bertaubat.Kesal dengan dosa yang dilakukan.
Kenangilah sungai-sungai yang mengalir itu adalah banjiran air mata Nabi Adam a.s kerana bertaubat.Lalu subur dan sejahtera bumi kerana terangkatnya taubat.Alirkan air mata kerana takutkan murka Allah..
Menangislah seperti Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata :"kalaulah semua orang masuk ke syurga kecuali seorang, aku takut akulah orang itu".
Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya: "kenapa engkau menangis? Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang".
Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita rupawan lalu dia mengharamkan matanya dari memandang langit seumur hidupnya seraya berkata:"sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu".
Tanyalah orang-orang soleh mengapa mereka tidak berhibur? Jawab mereka:"bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang kami, kubur itu di hadapan kami, kiamat itu janjian kami, neraka itu memburu kami dan perhentian kami adalah Allah".
Usah biarkan air mata gugur tanpa erti.
Tuesday, December 4, 2007
Rahmat Allah
-As-Syahid Imam Hassan al-Banna-
Monday, December 3, 2007
Belajar sikit dapat banyak
Berdasarkan ilmu yang diajar oleh Rasulullah itu juga para sahabat berupaya mentafsir dan mengembangkan ayat-ayat al-Quran.Saiyidina Ali k.w.j misalnya, mampu mengupas surah al-Fatihah hinggalah kalau sepuluh ekor unta pun tidak cukup untuk memikul kitab-kitab kupasan dan tafsirnya itu.
Rasulullah s.a.w sendiri memang percakapannya ringkas dan pendek tapi isinya padat.Baginda tidak bercakap terlalu panjang dalam sesuatu perkara.Untuk dapat faham banyak dari ilmu dan matan, ilmu itu mesti difikir-fikirkan.Sebaiknya dimuzakarah dan dibincangkan sama-sama.Dengan cara ini,ilmu yang matan ini akan bercambah dan berkembang.Imam Syafie rahimahullah pernah berkata:"Ilmu itu hidup dengan muzakarah".
Hakikatnya dalam ilmu ada ilmu, dan dalam ilmu kita boleh dapatkan penambahan ilmu.Semakin banyak yang kita tahu,semakin banyak pula yang kita tak tahu.Subhanallah! luasnya ilmuMu..Daya fikir pula akan menjadi lebih tajam dengan roh atau hati yang bersih yang biasa terhubung dengan Allah.Bila roh dan hati itu bersih, Allah akan mudahkan bagi akal untuk meneroka dan memahami perkara yang berkait dengan ilmu.Itu sebabnya di zaman kegemilangan Islam dikalangan para sahabat , tabiin, tabi' tabiin, dan ramai lagi yang dapat menguasai pelbagai bidang ilmu.Bukan setakat ilmu-ilmu yang berkait dengan Islam bahkan ilmu-ilmu keduniaan seperti ilmu falsafah, matematik, perubatan, astronomi, ketenteraan dan banyak lagi dapat dikuasai.
Dalam pada itu ramai dikalangan mereka yang dapat mnguasai pelbagai ilmu dalam satu masa.Walhal sebelum Islam mereka hanyalah pengembala-pengembala kambing dan ilmu tentang kambing sajalah yang mungkin mereka tahu.Berkat bimbingan dan didikan Rasulullah menjadikan mereka terbina,hati dan roh mereka bersih lantas akal mereka mudah untuk memahami,menyaring,mengupas dan menterjemahkan pelbagai ilmu dari tamadun Yunani dan Parsi.Selepas itu mereka pula yang menambah dan menyumbangkan ilmu-ilmu tersebut kepda penemuan baru hingga negara Islam menjadi pusat ilmu bagi semua bangsa pada waktu itu.
Selain itu untuk memperolehi kefahaman yang banyak dari ilmu atau matan ilmu adalah dengan cara mengamalkannya.Dengan amalan.ilmu akan menjadi luas dan terhurai.Firman Allah swt:"Barangsiapa yang mengamalkan ilmunya, Aku akan ajarkannya ilmu."
Apabila kita amalkan ilmu yang kita pelajari (ilmu yang tersurat), lama kelamaan Allah swt akan menganugerahkan kita ilmu hikmah (ilmu yang tersirat).Ilmu seperti ini tidak perlu belajar dan dicari.Allah swt akan jatuhkan terus ke hati kita.Ilmu ini juga dinamakan ilmu ilham atau ilmu ladunni.
Ya Allah ya Tuhan kami, kami pohon berlindung denganMu dari ilmu yang tidak memberi manfaat, hati yang tidak khusyu', nafsu yang tidak kenyang dan dari doa yang tidak dimakbulkan.aaamin ya Rabb.
Sunday, December 2, 2007
sanah helwah ya gameel...
Tiada apa yang mampu ayahbonda hadiahkan sempena hari ulangtahun kelahiranmu ini,
Hanya sekudus doa yang dipohon agar dirimu menjadi insan soleh yang beriman dan bertakwa serta memberi manfaat kepada orang lain.
Semoga dirimu menjadi penerus perjuangan ayahbonda kelak..hiduplah sebagai ulama' dan mati sebagai syuhada'.Insya Allah.
Salam sayang buat Akhie tersayang daripada abi,ummi dan adik hana'.
Saturday, December 1, 2007
Titian Kasih..
Titian kasih menagih harapan
Keluhan rindunya tanpa sempadan
Sedetik waktu seumpama kilauan
Gemersik suara hati penuh kesyahduan
Merenung diri sendiri di penjuru zaman
Hayatnya yang ada sekadar pinjaman
Cagaran amal di hari pembalasan
Rahmat dariMu Tuhan
Memberi kesempatan
Penawar kepanasan
Bahana yang membakar
Memamah keinsanan
Di dalam kehidupan
Limpahan kecintaan menyinari harapan
Menyapa kegersangan di hati
Melerai keburu nafsu yang menodai diri
Menghirup secangkir kasih Ilahi
HidayahMu Tuhan mengulit rindu
Desah di kalbu
Semarak kasihMu bagai gerimis
Seputih salju