Monday, December 3, 2007

Belajar sikit dapat banyak


Teringat kata-kata seorang ulama' terkenal tanahair,katanya..kita ni dalam bab menuntut ilmu,biar belajar sesudu tapi dapat semangkuk!.Bila difikir-fikir memang ada benarnya kiasan yang diluahkan itu.

Lihat sahaja para sahabat dizaman awal Islam, apa sahaja yang diajar oleh Rasulullah mereka dapat faham dengan banyak,luas,dan mendalam.Segala yang mereka perolehi daripada Rasulullah mampu dikembang, dikait, dikias dan disyarah hingga ia menjadi satu sumber yang lengkap dan menyeluruh.

Berdasarkan ilmu yang diajar oleh Rasulullah itu juga para sahabat berupaya mentafsir dan mengembangkan ayat-ayat al-Quran.Saiyidina Ali k.w.j misalnya, mampu mengupas surah al-Fatihah hinggalah kalau sepuluh ekor unta pun tidak cukup untuk memikul kitab-kitab kupasan dan tafsirnya itu.

Rasulullah s.a.w sendiri memang percakapannya ringkas dan pendek tapi isinya padat.Baginda tidak bercakap terlalu panjang dalam sesuatu perkara.Untuk dapat faham banyak dari ilmu dan matan, ilmu itu mesti difikir-fikirkan.Sebaiknya dimuzakarah dan dibincangkan sama-sama.Dengan cara ini,ilmu yang matan ini akan bercambah dan berkembang.Imam Syafie rahimahullah pernah berkata:"Ilmu itu hidup dengan muzakarah".

Hakikatnya dalam ilmu ada ilmu, dan dalam ilmu kita boleh dapatkan penambahan ilmu.Semakin banyak yang kita tahu,semakin banyak pula yang kita tak tahu.Subhanallah! luasnya ilmuMu..Daya fikir pula akan menjadi lebih tajam dengan roh atau hati yang bersih yang biasa terhubung dengan Allah.Bila roh dan hati itu bersih, Allah akan mudahkan bagi akal untuk meneroka dan memahami perkara yang berkait dengan ilmu.Itu sebabnya di zaman kegemilangan Islam dikalangan para sahabat , tabiin, tabi' tabiin, dan ramai lagi yang dapat menguasai pelbagai bidang ilmu.Bukan setakat ilmu-ilmu yang berkait dengan Islam bahkan ilmu-ilmu keduniaan seperti ilmu falsafah, matematik, perubatan, astronomi, ketenteraan dan banyak lagi dapat dikuasai.

Dalam pada itu ramai dikalangan mereka yang dapat mnguasai pelbagai ilmu dalam satu masa.Walhal sebelum Islam mereka hanyalah pengembala-pengembala kambing dan ilmu tentang kambing sajalah yang mungkin mereka tahu.Berkat bimbingan dan didikan Rasulullah menjadikan mereka terbina,hati dan roh mereka bersih lantas akal mereka mudah untuk memahami,menyaring,mengupas dan menterjemahkan pelbagai ilmu dari tamadun Yunani dan Parsi.Selepas itu mereka pula yang menambah dan menyumbangkan ilmu-ilmu tersebut kepda penemuan baru hingga negara Islam menjadi pusat ilmu bagi semua bangsa pada waktu itu.

Selain itu untuk memperolehi kefahaman yang banyak dari ilmu atau matan ilmu adalah dengan cara mengamalkannya.Dengan amalan.ilmu akan menjadi luas dan terhurai.Firman Allah swt:"Barangsiapa yang mengamalkan ilmunya, Aku akan ajarkannya ilmu."
Apabila kita amalkan ilmu yang kita pelajari (ilmu yang tersurat), lama kelamaan Allah swt akan menganugerahkan kita ilmu hikmah (ilmu yang tersirat).Ilmu seperti ini tidak perlu belajar dan dicari.Allah swt akan jatuhkan terus ke hati kita.Ilmu ini juga dinamakan ilmu ilham atau ilmu ladunni.

Ya Allah ya Tuhan kami, kami pohon berlindung denganMu dari ilmu yang tidak memberi manfaat, hati yang tidak khusyu', nafsu yang tidak kenyang dan dari doa yang tidak dimakbulkan.aaamin ya Rabb.

No comments: