Tuesday, January 8, 2008

Salam Maal Hijrah 1429

Rasanya baru sahaja meraikan eidulfitri 1428. Tup2 dah masuk tahun baru 1429 Hijriah. Ya Allah...cepatnya masa berlalu. Mungkin inilah juga rungutan ramai. Tetapi bila teringatkan salah satu hadis tanda2 akhir zaman rasanya taklah pelik sangat. Rasulullah s.a.w sendiri telah mengingatkan umatnya tentang perkara ini. Ya, itulah satu tanda dunia ini dah hampir kepenghujungnya. Keberkatan masa telah ditarik sedikit demi sedikit. Sehinggakan setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari sahaja dan seterusnya...

Bila sebut pasal masa, teringat seorang sahabat yang suka buat 'lawak cerdik'. Selalu apabila melihat dia tergopoh gapah seperti dikejar sesuatu..saya bertanya kenapa ni? Dalam termengah-mengah dia menjawab ada benda kejar saya!. Kita pun naik seram juga bila dia jawab camtu.Dengan selamba dia jawab: "Alah..masa yang kejar saya! Terkebil-kebil sambil mengiyakan apa yang dikatakan.Memang betul apa yang dikatakan. Masa yang berlalu tak mungkin boleh diganti balik. Mahalnya harga masa yang ada. Itulah salah seorang teman yang sangat menghargai masa. Semoga hidupnya dirahmati Allah kerana tidak mensia-siakan nikmat masa.

Selalunya bila sebut tahun baru, kebanyakannya sibuk memikirkan apakah azam barunya pada tahun ini.Walaupun azam yang diikrarkan tahun lepas tak ke mana namun semangat untuk azam yang berikutnya tetap ada. Tidak mengape, sekurang-kurangnya niat untuk reformasi diri dan ke arah yang lebih baik itu wujud. Cuma kesungguhan dan tawakkal perlu dijana sehabis daya kerana selagi hadaf keranaNya hidup ini perlu bersungguh untuk berjaya!

Apapun, dalam usaha untuk mengislah diri sebenarnya tiada had masa. Andai diberi taufik dan hidayah untuk berubah, bersyukurlah dan seelok-eloknya terus laksanakan. Tak perlu bertangguh-tangguh.Kerana sikap bertangguh-tangguh adalah daripada syaitan. Kita tak pasti bilakah tarikh kematian dan adakah kita sempat melakukannya atau tidak. Disebut dalam sebuah hadis, rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara...
Masa sihat sebelum sakit,
Masa lapang sebelum sibuk,
Masa kaya sebelum miskin,
Masa muda sebelum tua,
Masa hidup sebelum mati.

Buat akhirnya, SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1429 buat semua. Anda adalah apa yang anda inginkan. Tanamkan azam, bulatkan tekad dan buatlah apa yang patut demi kejayaan, kebahagiaan dunia wal akhirat. Berkata sheikh 'Atoillah as-Sakandari :"Tanda pengakhiran (kematian) yang baik adalah dengan permulaan (kehidupan) yang baik".Mudah2an kita dikurniakan nikmat husnul khotimah oleh Allah swt...aaamin ya Rabb.

Ya Allah ya Tuhan Kami, ampunilah apa-apa yang telah kami lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada kami melakukannya dan kami belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan kami telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukum kami, tetapi Engkau mengilhamkan kami dengan taubat selepas keberanian kami melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya kami memohon keampunanMu, maka ampunilah kami. Dan tidaklah kami melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikan kami dengan pahala atas yang sedemikian itu. Ya Allah ya Tuhan kami, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Friday, January 4, 2008

Tidur untuk hidup atau hidup untuk tidur?

Musim sejuk merupakan fatrah yang agak selesa untuk tidur. Cuacanya yang redup dan udaranya yang sejuk ditambah lagi pakaian tebal membaluti tubuh sering membuatkan mata terbuai-buai hanyut lantas terlena. Bagi mereka yang akan menghadapi imtihan, waktu sebegini menjadi ujian untuk bangun mengulangkaji pelajaran. Mujahadah diri yang tinggi sangat diperlukan. Apa tidaknya, nak berpisah dengan lihaf (selimut tebal) pun perlu istikharah:-) apatah lagi untuk ke bilik air walaupun ada sakhonah (pemanas air).Ujian....

Apapun cabarannya, semua ini mesti ditempuhi dengan tabah dan tenang.Waktu tidur mesti diadjust sebaiknya.Sebab ada kalangan kita sangat berkira dengan tempoh tidur.Sehinggakan ada seorang sahabat pernah berkata:"Kat Mesir ni kalau terlebih tidur tak ape, tapi kalau terkurang akan menyebabkan sakit kepala.."Kenyataan ini mungkin benar atau sebaliknya bergantung pada individu untuk menilainya.

Sebenarnya, budaya terlebih tidur atau tidur yang berlebihan ini berlaku di mana-mana hatta di Malaysia sekalipun. Faktor cuaca mungkin kebetulan sahaja atau alasan semata. Malang sekali andainya budaya ini menjadi hobi dan tabiat kita selaku umat Islam. Satu kerugian yang mungkin tidak disedari tetapi impaknya terlalu besar kepada tamadun diri dan bangsa. Kerana itu, Allah swt telah bersumpah dengan masa sebagaimana yang telah termaktub dalam surah al-'Asr.

Ramai yang mengatakan berdasarkan tips kesihatan bahawa kita memerlukan masa untuk tidur diwaktu malam antara enam hingga lapan jam.Namun begitu pendapat ini telah ditolak oleh para saintis barat spt Dr Ray Meddis seorang professor di Department of Human Science, England universiti of Technology yang mengatakan bahawa sebenarnya kita perlu tidur malam selama tiga jam sahaja.

Dari sudut sains, terdapat sejenis oksigen khusus yang wujud di atmosfera bumi antara lebih kurang jam tiga pagi hingga terbit matahari dan ia sangat penting kepada kesihatan tubuh manusia kerana berfungsi menggerakkan otot-otot badan supaya aliran darah berjalan lancar. Oksigen tersebut hilang dari atmosfera bumi selepas matahari terbit dan tidak akan datang lagi sehingga esok pagi. Hanya manusia yang bangun pagi sahaja dapat menikmati oksigen tersebut. Kerana itu Islam amat menggalakkan umatnya untuk bangun solat di waktu malam.Disamping mentaqarrubkan diri kepada Allah, kesihatan tubuh badan juga terjana.

Di dalam Al-Quran Allah swt berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa ada di dlm syurga dan dekat dengan air yang mengalir sambil mengambil apa yang diberi Tuhan mereka.Sesungguhnya mereka sebelum ini di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik.Mereka sedikit sekali tidur diwaktu malam.dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun kepada Allah" (az Zaariaat:15-18)

Ayat ini menjelaskan mengenai segolongan manusia yang masuk syurga kerana ibadah malamnya dan kurang tidur.

Seorang cendekiawan pernah berkata:"Pencapaian kerjaya yang tinggi oleh orang-orang ternama tidak didapati serta merta tetapi mereka bekerja keras sehingga larut malam pada waktu sahabat-sahabat mereka sedang nyenyak tidur."
Kata-kata cendekiawan ini sekadar satu contoh yang menunjukkan bahawa kejayaan itu dimulakan dengan tidur yang minima dan usaha yang bersungguh-sungguh.
Banyak tidur akan membawa pelbagai kesan negatif terhadap tubuh.Contohnya panas baran dan sakit buah pinggang.

Berikut adalah tips cara tidur yang sihat dan patut dipraktik oleh kita sebagai latihan hingga sebati dalam diri.
1. Makan malam yang sedikit sekadar alas perut supaya tidak lapar.Makan malam yang banyak
hanya akan menyebabkan kita cepat mengantuk dan susah untuk bangun.
2. Tunaikan solat isya' sebelum tidur.
3. Bersihkan tempat tidur spt tilam, bantal dan cadar dari habuk dan segala kotoran.
4. Amalkan doa-doa sebelum dan sesudah tidur yang diajarkan oleh Rasulullah saw.
5. Kurangkan masa tidur dari lapan jam sehari kepada tujuh jam sehari untuk latihan kali
pertama.Enam jam sehari dan seterusnya lagi sehingga kepada tiga jam sahaja.

Kesimpulannya, sama-samalah kita manfaatkan masa anugerah Allah dengan berusaha untuk minimakan waktu tidur kerana Imam Hassan al-Banna pernah berpesan :"الواجبات اكثر من الاوقات
"Kewajipan kamu lebih banyak dari masa yang kamu ada."


....Sebagai muhasabah bersama saya sisipkan satu artikel daripada KPT ONLINE..moge beroleh manfaat darinya.

MUSIM SEJUK BAGI MUKMIN
Perubahan empat musim dalam setahun sewajibnya mengingatkan kita kepada hari Akhirat. Bahang musim panas mengingatkan pada seksa neraka, Sejuk yang mengcengkam mengingatkan kita kepada keperitan neraka sejuk. Musim luruh pula, manusia mengumpul hasil-hasil baki buah untuk disimpan dirumah, mengingatkan kita untuk mempersiapkan bekalan untuk hari kemudian. Seterusnya musim bunga adalah musim yang paling indah mengingatkan kita kepada kesenangan dan nikmat syurga.

Patutlah Ibnu Mas’ud RA mengalu-alukan kedatangan musim sejuk dengan berkata ;
“ Selamat datang musim sejuk, turun padanya keberkatan, malamnya panjang untuk berqiamullail, pendek siangnya untuk berpuasa.”

Nabi SAW juga bersabda :
” الشتاء ربيع المؤمن“.زاد فى رواية : ” طال ليله فقامه، وقصر نهاره فصامه“
Yang bermaksud ; “ Musim sejuk adalah musim bunga bagi orang beriman.” Ditambah dalam riwayat lain; “panjang malamnya, lalu dia berqiamullail padanya, pendek siangnya, lalu dia berpuasa padanya.”
Ini kerana orang yang beriman dapat mengecapi kemanisan ketaatan di kebun ibadah. Pahala berpuasa di siangnya adalah ‘ghanimah sejuk’ sebagaimana di dalam hadis riwayat Tirmizi :
” الصيام فى الشتاء الغنيمة الباردة“
Dia dapat berpuasa pada siang harinya tanpa keperitan lapar dan dahaga kerana cuacanya yang sejuk dan tempoh siangnya pendek .
Qiamullail menjadi senang pada musim sejuk kerana tempoh malam yang panjang memberikan peluang kepada kita untuk tidur secukupnya, dan kemudian bangun beribadat pada sebahagian malamnya. Kelebihannya sangat besar sebagaimana kata Ibnu Rejab RA :
” قيام ليل الشتاء يعدل صيام نهار الصيف.“
“ Bangun malam pada musim sejuk menyamai puasa di siang musim panas.”

Namun, kita tidak hanya dituntut melakukan ibadah-ibadah khusus. Bahkan, di musim sejuk ini, menjadi kewajipan kepada orang beriman untuk membantu golongan faqir miskin dan mustadh’afin seperti rakyat Palestin, Iraq dan Afghanistan yang hidup dalam kedhaifan dan serba tidak cukup bekalan seperti pakaian, selimut dan makanan di musim sejuk yang mengcengkam tulang sum-sum.

Sabda Nabi SAW :

“ Barangsiapa yang mempunyai lebihan daripada bekalan, maka peruntukkanlah kepada orang yang tidak mempunyai bekalan.”

Berkata Saidina Ali KWJH :

“ Sesungguhnya Allah Taala mewajibkan ke atas orang kaya pada harta mereka kadar yang mengcukupkan keperluan golongan faqir di kalangan mereka...Dan menjadi hak kepada Allah untuk menghisab mereka di hari Akhirat dan mengazab mereka di atas perkara tersebut.”