Tuesday, January 8, 2008

Salam Maal Hijrah 1429

Rasanya baru sahaja meraikan eidulfitri 1428. Tup2 dah masuk tahun baru 1429 Hijriah. Ya Allah...cepatnya masa berlalu. Mungkin inilah juga rungutan ramai. Tetapi bila teringatkan salah satu hadis tanda2 akhir zaman rasanya taklah pelik sangat. Rasulullah s.a.w sendiri telah mengingatkan umatnya tentang perkara ini. Ya, itulah satu tanda dunia ini dah hampir kepenghujungnya. Keberkatan masa telah ditarik sedikit demi sedikit. Sehinggakan setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari sahaja dan seterusnya...

Bila sebut pasal masa, teringat seorang sahabat yang suka buat 'lawak cerdik'. Selalu apabila melihat dia tergopoh gapah seperti dikejar sesuatu..saya bertanya kenapa ni? Dalam termengah-mengah dia menjawab ada benda kejar saya!. Kita pun naik seram juga bila dia jawab camtu.Dengan selamba dia jawab: "Alah..masa yang kejar saya! Terkebil-kebil sambil mengiyakan apa yang dikatakan.Memang betul apa yang dikatakan. Masa yang berlalu tak mungkin boleh diganti balik. Mahalnya harga masa yang ada. Itulah salah seorang teman yang sangat menghargai masa. Semoga hidupnya dirahmati Allah kerana tidak mensia-siakan nikmat masa.

Selalunya bila sebut tahun baru, kebanyakannya sibuk memikirkan apakah azam barunya pada tahun ini.Walaupun azam yang diikrarkan tahun lepas tak ke mana namun semangat untuk azam yang berikutnya tetap ada. Tidak mengape, sekurang-kurangnya niat untuk reformasi diri dan ke arah yang lebih baik itu wujud. Cuma kesungguhan dan tawakkal perlu dijana sehabis daya kerana selagi hadaf keranaNya hidup ini perlu bersungguh untuk berjaya!

Apapun, dalam usaha untuk mengislah diri sebenarnya tiada had masa. Andai diberi taufik dan hidayah untuk berubah, bersyukurlah dan seelok-eloknya terus laksanakan. Tak perlu bertangguh-tangguh.Kerana sikap bertangguh-tangguh adalah daripada syaitan. Kita tak pasti bilakah tarikh kematian dan adakah kita sempat melakukannya atau tidak. Disebut dalam sebuah hadis, rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara...
Masa sihat sebelum sakit,
Masa lapang sebelum sibuk,
Masa kaya sebelum miskin,
Masa muda sebelum tua,
Masa hidup sebelum mati.

Buat akhirnya, SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 1429 buat semua. Anda adalah apa yang anda inginkan. Tanamkan azam, bulatkan tekad dan buatlah apa yang patut demi kejayaan, kebahagiaan dunia wal akhirat. Berkata sheikh 'Atoillah as-Sakandari :"Tanda pengakhiran (kematian) yang baik adalah dengan permulaan (kehidupan) yang baik".Mudah2an kita dikurniakan nikmat husnul khotimah oleh Allah swt...aaamin ya Rabb.

Ya Allah ya Tuhan Kami, ampunilah apa-apa yang telah kami lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada kami melakukannya dan kami belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan kami telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukum kami, tetapi Engkau mengilhamkan kami dengan taubat selepas keberanian kami melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya kami memohon keampunanMu, maka ampunilah kami. Dan tidaklah kami melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikan kami dengan pahala atas yang sedemikian itu. Ya Allah ya Tuhan kami, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

No comments: